THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Wednesday, December 1, 2010

DI SEBALIK TIRAI BESI






MELANGKAH masuk ke Penjara Kajang, Selangor mengundang perasaan yang bercampur baur.

Gerun melihat tembok besi di kelilingi pagar kawat serta kawalan ketat pengawal penjara meruntun rasa sayu dan simpati terhadap para banduan ini.

Buat seketika, timbul tanda tanya bagaimana nur Ilahi dapat masuk ke jiwa mereka yang dilabel `jahat', `kejam' dan `berbahaya' di mata masyarakat dan undang-undang negara.

Namun, kesempatan bertemu dengan saudara-saudara kita di penjara ini menjawab segala pertanyaan.


Hakikatnya, qada dan qadar dari Allah s.w.t. tidak dapat diubah oleh manusia akan tetapi hidayah Allah ini ada ketikanya diperoleh secara yang luar biasa.

Berasal dari Rantau, Negeri Sembilan, Tan (bukan nama sebenar), berbangsa Cina, 46, pernah bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran yang menyediakan makanan halal.

Tan mengenali Islam melalui pergaulan sehariannya dengan rakan sekerja.

Lapan tahun dahulu, cerita Tan memulakan bi-

cara, beliau pernah bermimpi dikunjungi seorang lelaki tua yang sedang memegang sebuah bungkusan yang dibalut dengan kain kuning.

``Kata lelaki itu, benda yang terkandung dalam kain tersebut akan menyelamatkan nyawa saya. Saya terkejut rupa-rupanya ia adalah senaskhah al-Quran.

Dibisikkan

``Selain itu juga, saya sering merasakan seperti dibisikkan kalimah-kalimah seperti Allah Maha Besar, kalimah Bismillah dan juga ucapan salam,'' katanya yang mengucap dua kalimah syahadah pada Julai 2004.

Tan mengakui beliau agak terlewat memeluk Islam. Namun, beliau yakin Allah lebih Maha Mengetahui dari segalanya.

Sungguhpun pengIslaman Tan tidak diketahui oleh adik-beradik yang lain, Tan mengakui lebih tenteram sejak bergelar Muslim.

``Bagi saya amalan zikir dapat membina kekuatan dalaman di samping ia mampu mendisiplinkan diri seseorang sekiranya ia diamalkan selalu,'' terang Tan yang berazam membuka gerai makan apabila dibebaskan kelak.

``Selain itu, saya juga ingin membuktikan bahawa Islam adalah milik semua dan bukannya milik sesuatu kaum sahaja. Di kalangan masyarakat saya berpendapat bahawa agama ini adalah milik orang Melayu oleh itu sesiapa yang memeluk Islam menjadi Melayu,'' katanya yang tidak melepaskan peluang menguasai Muqaddam sepanjang di penjara.

Sementara Shan (bukan nama sebenar), 29, sering tertanya-tanya, mengapa Tuhannya mempunyai wajah yang berbeza-beza. Persoalan ini bermain di fikirannya sejak kecil lagi.

Merasakan ia adalah sesuatu yang sukar diterima olehnya, Shan telah mengajukan persoalan tersebut kepada mendiang ayahnya.

``Sebaliknya, soalan yang serupa ditanyakan kepada saya oleh ayah. Jawapan saya pada ketika itu ialah

walaupun Tuhan tidak boleh dilihat tetapi ia wujud.

``Ayah kemudiannya berkata sekiranya itu yang saya percaya maka itulah yang saya perlu ikut,'' terang anak jati Kuala Lumpur yang berbangsa Singh ini.

Selain itu, amalan solat yang dilakukan secara berjemaah oleh para banduan secara tidak langsung, mempengaruhi pengIslaman beliau.

``Saya hairan bagaimana banduan yang berbeza warna kulit, bangsa boleh berkumpul, berdiri bersebelahan dan menunaikan solat bersama tanpa memikirkan perbezaan yang ada.

``Dan semua akan mengadap ke satu arah yang sama. Tidak seperti agama lain yang akan mengadap gambar atau patung di hadapan mereka setiap kali sembahyang,'' kata anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini.

Setelah bertanya kepada beberapa banduan yang beragama Islam, Shan akhirnya mengetahui mengenai kiblat, solat lima waktu dan apa sebenarnya agama Islam. Akhirnya, Shan memeluk Islam pada tahun 2001.

Akui anak muda ini lagi, kini beliau dapat merasakan perubahan dari segi dalaman seperti berjaya mengawal nafsu dan sifat panas barannya dengan lebih bijaksana berbanding sebelumnya.

``Selain dari itu, nilai kebersihan yang diamalkan dalam Islam berbeza dengan agama lain. Agama Islam mementingkan kebersihan dalaman dan luaran. Hal ini juga menarik minat saya,'' kata Shan yang bercita-cita

menyambung pelajaran agamanya di sebuah sekolah pondok sebagaimana yang disarankan oleh seorang ustaz di Penjara Kajang.

Jason (bukan nama sebenar), 22, berasal dari Ranau, Sabah. Perkenalannya dengan Islam bermula dalam lingkungan pergaulan dengan rakan-rakan Melayu ketika bekerja sebagai pelayan hotel di Kuala Lumpur.

Jason kerap pulang ke kampung halaman rakan-rakan dari Semenanjung setiap kali bercuti.

Sepanjang berada di rumah rakannya, dia melihat hubungan kekeluargaan di antara mereka sekeluarga begitu akrab. Ia sesuatu yang unik serta terkesan di hati kecilnya.

Menurut Jason lagi, cara anak bercakap dengan ibu bapa dan cara mereka menghormati orang yang lebih tua amat berbeza sekali dengan apa yang beliau amalkan selama ini.

``Setiap orang dipanggil menggunakan pangkat tertentu, cara orang Islam berpakaian sewaktu solat juga menarik minat saya kepada Islam,''cerita Jason yang memeluk Islam pada 6 Mei tahun lalu.

Seperti yang lain juga, Jason tidak pernah terlepas menghadiri kelas mengaji dan lain-lain aktiviti keagamaan Islam yang dianjurkan oleh penjara.

Mendamaikan

Bercerita mengenai Ramadan yang disambut buat pertama kali sebagai seorang Muslim di penjara, Jason berkata, pengalaman bersahur, berbuka puasa dan melaksanakan solat tarawih berjemaah begitu mendamaikan jiwa.

Walaupun suasana agak berbeza tetapi kemuliaan dan keberkatan bulan Ramadan ini tidak terletak pada tempatnya tetapi bagaimana penghayatannya.

Peristiwa memotong jari telunjuk tangan kirinya dengan tujuan untuk membayar nazar kepada Tuhan baginya bukanlah bentuk pengorbanan yang hebat yang pernah dilakukan dahulu.

Kini, Siva (bukan nama sebenar), 45, bukan setakat jari sanggup dikorbankan tetapi seluruh jiwa raga diserahkan keseluruhannya kepada Allah Yang Maha Esa.

``Percaya atau tidak, saya sudah menghafal Al-Fatihah dan surah tiga Qul sebelum saya memeluk Islam lagi.

``Saya selalu mengigau pada waktu malam terutamanya selepas mengambil keputusan meninggalkan agama asal. Atas saranan seorang teman yang beragama Islam, saya mula menghafal ayat di atas,'' katanya memulakan bicara.

Setelah masalah tidurnya pulih, Siva lebih tertarik dan timbul semacam perasaan untuk mendalami agama Islam.

``Dari situ, saya mula belajar sembahyang dengan rakan-rakan banduan Islam yang lain walaupun masih dalam agama asal.

``Namun cabaran seterusnya menyusul apabila teman sebangsa tidak begitu setuju dengan tindakan saya kerana saya belum lagi Islam.

``Akhirnya saya menerima nasihat daripada rakan banduan yang lain agar memeluk Islam iaitu pada Ogos 2004,'' cerita Siva bersyukur Islam menjadi pegangan akidahnya kini.

Menurut anak keempat dari enam beradik ini, beliau bertekad untuk mendalami ilmu agama selepas dibebaskan nanti.

``Tiada apa lagi yang saya minta kecuali Allah tidak membalikkan hati saya kepada kekufuran,'' katanya mengakhiri perbualan.

0 comments: